My Followers
Thursday, March 12, 2009
Genetik dan Persekitaran Pengaruhi Perkembangan Percakapan Anak-Anak
Menurut pakar perkembangan dan pendidikan kanak-kanak
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis,
berkata keupayaan seseorang kanak-kanak itu boleh bercakap adalah
berbeza antara seorang dengan yang lain dan berkait rapat dengan
faktor persekitaran dan kesihatan mereka.Katanya, ada sesetengah
kes anak lambat bercakap kerana faktor genetik yang mana ayah atau
ibunya ketika kecil pun lambat bercakap juga.
Mungkin juga kanak-kanak berkenaan sedang memberi tumpuan untuk
menguasai sesuatu kemahiran baru. Contohnya belajar berjalan.
Itulah sebabnya kadang-kadang kita lihat ada kanak-kanak yang bila
sudah boleh merangkak dan berjalan barulah mereka mula bercakap.
“Ada juga kanak-kanak tidak mendapat perhatian secukupnya daripada
ibubapa atau penjaga. Ada ibu bapa yang terlalu sibuk hingga kurang
memberi perhatian untuk bercakap dengan anak kerana jarak umur antara
seorang anak dengan lain agak rapat, adik beradik kembar atau keluarga
besar. Ahli keluarga dewasa mungkin lebih bercakap sesama sendiri,”
katanya
Menurut Dr Mastura lagi, kurang galakan dan sokongan ibu bapa juga
boleh menyebabkan kanak-kanak lambat bercakap, begitu juga jika
mereka kurang didedahkan bercakap dengan orang dewasa.Daripada aspek
kesihatan, anak yang kurang atau lambat bercakap mungkin menghadapi
masalah ‘ear infection’ atau disahkan mempunyai masalah pendengaran.
“Kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘oral-motor’ juga menghadapi
kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan.
Namun, biasanya kes seperti ini ada kaitan dengan masalah makan
(masalah ini hanya boleh dikenal pasti pakar)
“Kanak-kanak berkeperluan khas dan mereka yang dikategorikan sebagai
berisiko tinggi seperti tidak cukup zat makanan, tekanan emosi,
penderaan dan sebagainya juga menyebabkan mereka lambat bercakap.
Selain itu kanak-kanak yang selalu bermain sendiri dan kurang terdedah
kepada hubungan sosial juga menghadapi masalah sama. Begitu juga jika
ibu bapa menggunakan bahasa ‘rojak’,” katanya.
Bahasa atau percakapan biasanya akan tercetus apabila ada
ruang untuk berinteraksi antara seorang dengan yang lain dalam konteks
sosial. Ia juga ada kaitannya dengan keupayaan seseorang kanak-kanak
itu berfikir dan menguasai perbendaharaan kata.
“Namun, galakan dan sokongan memainkan peranan penting
merangsang keupayaan kanak-kanak untuk bercakap. Menurut kajian, satu
daripada sepuluh kanak-kanak menghadapi masalah lambat bercakap dan ada
fakta mengatakan biasanya kanak-kanak lelaki, tiga atau empat kali
lebih terdedah kepada masalah ini berbanding dengan kanak-kanak
perempuan,” katanya. Bila anak mula boleh bercakap? Persoalan mengenai satu
yang subjektif kerana keupayaan berkenaan berkait rapat dengan empat
peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak.
Peringkat pertama bermula dengan kemahiran fonologi iaitu seseorang
kanak-kanak belajar mengeluarkan bunyi dan memahami bunyi-bunyi
bahasa pertuturan. Kedua ialah kemahiran semantik iaitu keupayaan
kanak-kanak memahami perkataan dan menguasai perbendaharaan kata.
Ketiga keupayaan kanak-kanak belajar cara mencantum dan menyusun
perkataan menjadi ayat yang betul dari segi tatabahasa. Keempat
adalah yang paling kompleks iaitu perkembangan pragmatik yang
membabitkan peraturan menggunakan bahasa dalam konteks sosial yang
berbeza atau tujuan yang pelbagai.
Percakapan kanak-kanak
Belajar bercakap atau berkomunikasi, kanak-kanak
dari bayi lagi sebenarnya sudah boleh ‘berkomunikasi’ dengan orang lain
melalui mimik muka, gerak isyarat seperti menggapai tangan, bahasa
tubuh, gerak badan , bunyi mulut, mengagah dan sebagainya (perkembangan
pra-linguistik). Seorang kanak-kanak mungkin boleh dilihat sebagai
‘boleh bercakap’ bila ia sudah memiliki sedikit kemahiran peringkat
pertama dan kedua perkembangan bahasa kanak-kanak. Kanak-kanak berusia
satu hingga dua tahun biasanya sudah memulakan perkataan pertama mereka
dan dalam lingkungan berusia 18 hingga 36 bulan, kanak-kanak sudah mula
memahami ‘semantik’ sesuatu perkataan dan mula menggunakannya sedikit
demi sedikit meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman.
Bantuan untuk anak bercakap - Ibu bapa perlu selalu berkomunikasi dan
berinteraksi dengan anak-anak dari usia mereka masih bayi atau ketika
mereka masih belum lagi pandai bercakap.Apabila bercakap dengan mereka,
gunakan ayat yang pendek dan mudah. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu
kepada anak-anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang
lain supaya anak anda mendapat peluang untuk memberi maklum atau tindak
balas. Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud
perkataan atau ayat. Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa
bercerita kepada anak. Dedahkan anak kepada interaksi sosial kerana dengan
cara ini ibu bapa memberi peluang kepada anak mendengar perbualan di
samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali
Banyak aktiviti seharian dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa antaranya mengemukakan
soalan, mengemukakan arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan
bercakap-cakap dengannya. Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan
berusaha memberi perhatian serta mendengar dan cuba memahami apa yang
disampaikan si anak. Jika apa yang diucapkannya tidak jelas bantu
mereka dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah
yang cuba disebut anak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment