My Followers

Monday, April 27, 2009

Membina Pemakanan Berkhasiat untuk simanja



Memberi makanan kepada kanak-kanak yang sedang membesar bukannya mudah.
Ketahuilah makanan yang sesuai dan baik untuk anak anda.

Oleh Dr Nik Shanita Safii, Pakar Dietetik

Ramai ibubapa khuatir sama ada makanan yang mereka beri kepada anak-anak terlalu sedikit; banyak atau jenis makanan yang tidak bersesuaian dengan keperluan tumbesaran anak mereka. Ditambah dengan masalah kanak-kanak yang tidak mahu duduk setempat untuk makan, serta menghendaki jenis makanan yang sama setiap hari dan yang tidak mahu mencuba makanan baru. Semua ini merupakan kesukaran yang dihadapi oleh ibubapa untuk memberi anak mereka sajian makanan yang sihat.

Panduan Perancangan Hidangan

Cara yang paling mudah untuk mengetahui jumlah keperluan makanan yang perlu diberi kepada anak anda ialah dengan merujuk kepada Piramid Panduan Makanan untuk kanak-kanak. Memberi anak anda makanan yang terlampau banyak atau terlalu sedikit daripada setiap kumpulan makanan boleh membahayakan kerana setiap jenis makanan mempunyai peranan yang berlainan dalam pemakanan mereka.

Karbohidrat

Tubuh anda akan menghadam karbohidrat yang dimakan menjadi glukosa, yang merupakan “sumber tenaga” segera. Karbohidrat yang terlalu sedikit dalam sajian makanan harian anak anda akan mengakibatkannya menjadi tidak cergas atau kekurangan tenaga untuk menjalani aktiviti harian. Karbohidrat yang terlalu banyak pula akan mengakibatkan tubuh menyimpan tenaga yang berlebihan sebagai lemak dan akhirnya akan meningkatkan risiko menjadi obes.

Protein

Tubuh menggunakan tenaga daripada protein sebagai bahanbahan asas untuk membesar. Jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk tumbesaran kanak-kanak, bukan sahaja untuk menentukan dia dapat menjadi lebih tinggi tetapi agar dia mempunyai jisim otot yang sempurna untuk menjalankan aktiviti alam kanak-kanak yang penuh dengan kesibukan dan keseronokan.

Protein yang berlebihan dalam sajian makan akan bertukar menjadi lemak dan akan disimpan dalam tubuh, oleh itu, berikan anak anda makanan yang secukupnya sahaja.

Lemak

Seperti karbohidrat, lemak juga membekalkan tenaga untuk menjalani aktiviti harian. Lemak berperanan mengawal suhu tubuh dan pengawalaturan pengeluaran hormon dan sel. Lemak juga penting untuk perkembangan otak, seperti asid dokosaheksanoik (DHA), asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid arakidonik (ARA) yang boleh diperolehi daripada asid perlu, iaitu asid linoleik dan asid linolenik.

Vitamin A, D, E dan K dikategorikan sebagai vitaminvitamin larut lemak, oleh itu satu-satunya cara untuk memastikan badan anda menyerap vitamin ini ialah dengan mengambil makanan yang mengandungi jumlah lemak yang tertentu. Kajian telah menunjukkan bahawa sajian makan harian yang mengandungi kurang daripada 15% lemak daripada jumlah tenaga keseluruhan, kemungkinan tubuh tidak mendapat vitamin larut lemak yang mencukupi.

Vitamin & Mineral

Vitamin adalah kimia organik yang diperlukan oleh tubuh dalam jumlah yang kecil untuk berfungsi dengan sempurna, tetapi ianya tidak boleh dihasilkan sendiri oleh badan. Setiap vitamin mempunyai peranan yang berlainan. Pengambilan makanan yang seimbang dan bervariasi dapat menjamin adanya jenis vitamin dan mineral yang berbeza serta dapat memastikan tubuh mendapat jumlahnya yang mencukupi.

* Vitamin A terdapat dalam hati, produk tenusu, buahbuahan berwarna gelap dan sayur-sayuran berdaun.

* Vitamin B terdapat dalam bijian, bijirin gandum, hati dan organ-organ berdaging yang lain, kuning telur dan produk tenusu.

* Vitamin C terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran yang belum dimasak.

* Vitamin D boleh didapati dalam kebanyakan jenis ikan dan kuning telur, tetapi boleh juga diperolehi dari bahan kimia lain yang sudah sedia ada dalam badan apabila seseorang terdedah kepada cahaya matahari. Pendedahan kepada cahaya matahari selama lima hingga sepuluh minit sehari (dengan penggunaan losyen pelindung matahari) adalah penting untuk mendapatkan Vitamin D yang secukupnya.

* Vitamin E terdapat di dalam minyak sayur-sayuran dan kacang.

* Vitamin K terdapat dalam sayur-sayuran berdaun hijau gelap.

Mineral dietari adalah unsur-unsur yang diperlukan oleh tubuh untuk kekal sihat. Sajian makanan seimbang yang mengandungi pelbagai jenis sayur-sayuran, daging, bijian dan produk tenusu biasanya sudah mencukupi untuk memastikan anak mendapat segala mineral yang diperlukan.


No comments:

Post a Comment