My Followers

Monday, April 27, 2009

MEMBESARKAN ANAK-ANAK ANDA MENGIKUT PERINGKAT UMUR

Anak adalah anugerah Ilahi yang paling berharga dalam hidup kita. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kita sebagai ibu bapa untuk membesarkan anak-anak kita dengan sempurna, agar mereka menjadi manusia yang berguna apabila mereka dewasa kelak. Seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebung’, mengasuh anak biarlah dari kecil.

Tugas ibu bapa tidak semudah yang disangka. Ini adalah kerana tanggungjawab kita bukan sekadar untuk menyediakan makanan serta pakaian dan seterusnya perbelanjaan pendidikan semasa mereka kecil sahaja. Namun, tanggungjawab kita berterusan sehingga mereka membesar hingga menjadi remaja.

Selain memastikan anak-anak membesar dengan sihat, tugas ibu bapa termasuk membantu mereka mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya, dan menyediakan asas yang betul untuk membolehkan mereka berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Bukan mudah untuk mencapai matlamatmatlamat ini. Namun, tugas membesarkan anak-anak bukanlah satu bebanan atau masalah besar.

Pada hakikatnya, ia ibarat menyertai pengembaraan yang berliku-liku dan penuh cabaran, pengembaraan bersama mereka disulami suka duka, keriangan dan hilai ketawa, keresahan dan tangisan.

Dengan mengamalkan pendekatan yang positif, kita boleh meramalkan keperluan fizikal, intelektual, emosional, sosial dan pemakanan anak-anak kita. Dengan begitu, kita boleh bertindak mengikut keadaan. Pendekatan ini bermula dengan perasaan kasih sayang dan memahami peringkat usia dan pertumbuhan mereka.

DUA BELAS BULAN PERTAMA

Peringkat paling memenatkan ibu bapa bermula sebaik sahaja bayi dilahirkan. Tugas menyusu dan menyuapkan makanan, memandikan, menukar lampin, membawa bayi berjumpa doktor dan mendapatkan suntikan vaksin merupakan satu rutin yang membuat kita sentiasa sibuk. Tetapi semua kepenatan ini hilang apabila kita melihat bayi kita membesar dengan sihat dan belajar pelbagai perkara baru di sekelilingnya.

Dalam usia 6 minggu, dia tidak berdaya mengangkat kepala; menjelang 8 bulan, dia sudah pandai duduk dan menggunakan tangannya untuk memegang mainan atau makanan. Pada usia 10 bulan, dia boleh merangkak dan meniru gelagat kita, seperti menepuk tangan. Mencecah usia 12 bulan, dia
boleh berdiri megah dan bertatih sambil memegang tangan kita. Kepetahannya menyebut ‘ma-ma’ atau ‘da-da’ bagaikan nyanyian yang menghiburkan perasaan.

USIA 1, 2, 3 TAHUN

Usia satu tahun menandakan titik permulaan yang membawa liku-liku perubahan yang menggembirakan hati bayi dan juga diri kita. Dia sudah mula memahami tindak tanduk kita, dan menganggap kita sebagai pelindung dan tempat untuk mendapatkan sokongan emosional. Dia boleh bermain dengan kita dan berhubung melalui isyarat, seperti mengangkat tangan untuk meminta didokong dan dibelai.

Mencecah usia dua tahun, dia sudah pandai berjalan dan berlari-lari. Keupayaan mengimbangkan pandangan mata dengan gerakan tangannya membolehkan dia bermain dengan objek besar, seperti bola atau mainan. Dia lebih yakin dan berani meninjau persekitaran yang lebih jauh dari kita.

Dia seronok bermain berhampiran kanak-kanak lain, tidak dengan mereka. Melalui kata-kata dan ayat yang mudah, dia sudah boleh memberitahu kita apa yang tersirat di dalam fikirkannya.

Dalam usia tiga tahun, dia semakin ligat – mula melompat, memanjat dan bermain dengan objek lebih kecil. Dia boleh mengenali warna dan bentuk, dan lebih petah bercakap menggunakan ayat-ayat yang lebih panjang. Dia juga gemar bermain dengan kanak-kanak lain dan mula belajar berkongsi mainan dengan mereka serta mengawal emosinya.

Di peringkat ini, anak-anak akan bersikap mendesak. Jadi, sebagai ibu bapa, kita perlu tegas dan bijak mengimbangkan kehendaknya dengan keperluan supaya dia belajar menghormati kuasa ibu bapa. Dia akan mula menunjukkan perangai buruknya dengan membantah kehendak kita dan berdegil tidak mahu melakukan apa yang kita minta. Ini semua akan menjadi ‘asam garam’ bagi kita. Di peringkat inilah kita perlu menunjukkan batasan, peraturan dan disiplin yang bakal menjadi garis panduan hidupnya pada masa hadapan.

4 HINGGA 6 TAHUN

Kadar pertumbuhan anak kita biasanya beransuransur perlahan apabila memasuki peringkat umur 4 hingga 6 tahun, namun perubahan pada dirinya semakin ketara. Dari segi fizikal, dia menjadi lebih tinggi dan berat badannya bertambah, ruas tangannya semakin panjang, dan giginya mula tumbuh. Dia bertambah kuat, tangkas dan seimbang.

Dia sudah pandai berceloteh dan menyuarakan pandangan serta pendapatnya. Malah, kita boleh mendengar dan melihat pelbagai aspek dunia melalui kaca matanya.

Anak kita akan belajar banyak lagi perkara baru apabila mereka memasuki tadika atau kelas pra-sekolah. Mereka bukan sekadar belajar mengenal A-B-C, 1-2-3, aneka warna dan lagu, tetapi juga belajar bercampur-gaul dengan kanak-kanak lain. Dia akan belajar mendengar dan mematuhi arahan guru-gurunya (dan juga arahan kita) dan belajar melihat kehidupan dunia luar daripada pergaulan dengan kanak-kanak sebaya dengan mereka.

Oleh kerana daya ketahanan anak kita masih di peringkat pembangunan, pergaulan dengan kawan-kawan akan meningkatkan pendedahan mereka kepada jangkitan kuman biasa seperti kuman selsema, flu, batuk, demam, cirit-birit dan lain-lain. Serangan penyakit biasa seperti ini memang menjadi lumrah hidup semasa anakanak sedang membesar. Tetapi jika mereka terlalu kerap mendapat jangkitan atau mengalami masalah serius, bawalah mereka berjumpa doktor.

SELEPAS 6 TAHUN

Alam persekolahan rendah menandakan permulaan pendidikan akademik secara formal diikuti kelas tuisyen dan muzik, dan menyertai kegiatan sukan serta rekreasi di luar waktu sekolah. Sikap, perangai dan tabiat mereka (termasuk juga pilihan makanan kesukaan dan cara makan) mula dipengaruhi oleh orang lain – terutama guru, kawan atau idola mereka.

Anak kita akan menuntut kebebasan sambil membentuk idea dan pendapatnya sendiri. Tetapi kita tidak boleh memberikan kebebasan penuh atau membiarkan mereka membuat keputusan sendiri. Mereka masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar kita untuk membantu mereka membezakan yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana betul dan yang mana salah. Mereka juga merasa lebih selesa jika kita mengambil berat terhadap kegiatan mereka. Anak-anak bukan sahaja menghargai pujian, galakan dan panduan yang kita berikan, tetapi juga disiplin yang kita kenakan, kerana ini semua menunjukkan kita memberi perhatian dan mengambil berat tentang mereka.

Kesemua ini merupakan sebahagian daripada pendekatan positif yang boleh kita amalkan untuk memastikan anak-anak kita membesar dengan sempurna.

Membina Pemakanan Berkhasiat untuk simanja



Memberi makanan kepada kanak-kanak yang sedang membesar bukannya mudah.
Ketahuilah makanan yang sesuai dan baik untuk anak anda.

Oleh Dr Nik Shanita Safii, Pakar Dietetik

Ramai ibubapa khuatir sama ada makanan yang mereka beri kepada anak-anak terlalu sedikit; banyak atau jenis makanan yang tidak bersesuaian dengan keperluan tumbesaran anak mereka. Ditambah dengan masalah kanak-kanak yang tidak mahu duduk setempat untuk makan, serta menghendaki jenis makanan yang sama setiap hari dan yang tidak mahu mencuba makanan baru. Semua ini merupakan kesukaran yang dihadapi oleh ibubapa untuk memberi anak mereka sajian makanan yang sihat.

Panduan Perancangan Hidangan

Cara yang paling mudah untuk mengetahui jumlah keperluan makanan yang perlu diberi kepada anak anda ialah dengan merujuk kepada Piramid Panduan Makanan untuk kanak-kanak. Memberi anak anda makanan yang terlampau banyak atau terlalu sedikit daripada setiap kumpulan makanan boleh membahayakan kerana setiap jenis makanan mempunyai peranan yang berlainan dalam pemakanan mereka.

Karbohidrat

Tubuh anda akan menghadam karbohidrat yang dimakan menjadi glukosa, yang merupakan “sumber tenaga” segera. Karbohidrat yang terlalu sedikit dalam sajian makanan harian anak anda akan mengakibatkannya menjadi tidak cergas atau kekurangan tenaga untuk menjalani aktiviti harian. Karbohidrat yang terlalu banyak pula akan mengakibatkan tubuh menyimpan tenaga yang berlebihan sebagai lemak dan akhirnya akan meningkatkan risiko menjadi obes.

Protein

Tubuh menggunakan tenaga daripada protein sebagai bahanbahan asas untuk membesar. Jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk tumbesaran kanak-kanak, bukan sahaja untuk menentukan dia dapat menjadi lebih tinggi tetapi agar dia mempunyai jisim otot yang sempurna untuk menjalankan aktiviti alam kanak-kanak yang penuh dengan kesibukan dan keseronokan.

Protein yang berlebihan dalam sajian makan akan bertukar menjadi lemak dan akan disimpan dalam tubuh, oleh itu, berikan anak anda makanan yang secukupnya sahaja.

Lemak

Seperti karbohidrat, lemak juga membekalkan tenaga untuk menjalani aktiviti harian. Lemak berperanan mengawal suhu tubuh dan pengawalaturan pengeluaran hormon dan sel. Lemak juga penting untuk perkembangan otak, seperti asid dokosaheksanoik (DHA), asid eikosapentaenoik (EPA) dan asid arakidonik (ARA) yang boleh diperolehi daripada asid perlu, iaitu asid linoleik dan asid linolenik.

Vitamin A, D, E dan K dikategorikan sebagai vitaminvitamin larut lemak, oleh itu satu-satunya cara untuk memastikan badan anda menyerap vitamin ini ialah dengan mengambil makanan yang mengandungi jumlah lemak yang tertentu. Kajian telah menunjukkan bahawa sajian makan harian yang mengandungi kurang daripada 15% lemak daripada jumlah tenaga keseluruhan, kemungkinan tubuh tidak mendapat vitamin larut lemak yang mencukupi.

Vitamin & Mineral

Vitamin adalah kimia organik yang diperlukan oleh tubuh dalam jumlah yang kecil untuk berfungsi dengan sempurna, tetapi ianya tidak boleh dihasilkan sendiri oleh badan. Setiap vitamin mempunyai peranan yang berlainan. Pengambilan makanan yang seimbang dan bervariasi dapat menjamin adanya jenis vitamin dan mineral yang berbeza serta dapat memastikan tubuh mendapat jumlahnya yang mencukupi.

* Vitamin A terdapat dalam hati, produk tenusu, buahbuahan berwarna gelap dan sayur-sayuran berdaun.

* Vitamin B terdapat dalam bijian, bijirin gandum, hati dan organ-organ berdaging yang lain, kuning telur dan produk tenusu.

* Vitamin C terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran yang belum dimasak.

* Vitamin D boleh didapati dalam kebanyakan jenis ikan dan kuning telur, tetapi boleh juga diperolehi dari bahan kimia lain yang sudah sedia ada dalam badan apabila seseorang terdedah kepada cahaya matahari. Pendedahan kepada cahaya matahari selama lima hingga sepuluh minit sehari (dengan penggunaan losyen pelindung matahari) adalah penting untuk mendapatkan Vitamin D yang secukupnya.

* Vitamin E terdapat di dalam minyak sayur-sayuran dan kacang.

* Vitamin K terdapat dalam sayur-sayuran berdaun hijau gelap.

Mineral dietari adalah unsur-unsur yang diperlukan oleh tubuh untuk kekal sihat. Sajian makanan seimbang yang mengandungi pelbagai jenis sayur-sayuran, daging, bijian dan produk tenusu biasanya sudah mencukupi untuk memastikan anak mendapat segala mineral yang diperlukan.


Monday, April 13, 2009

Tips Menangani Kenakalan Anak

Kenakalan anak-anak kadang kala membuatkan kemarahan anda sebagai ibu bapa memuncak sehingga membuatkan anda akan meninggikan suara, memukul mereka tanpa menghiraukan jiran tetangga dan sebagainya. Justeru, untuk menangani masalah ini, berikut merupakan 7 kaedah bagaimana untuk anda manjaga perilaku kenakalan anak-anak agar anda dapat mengawalnya.


1. Buat Peraturan

Sebagai ibu bapa anda berhak mengatur aktiviti anak-anak. Oleh itu, untuk menjaga kenakalan mereka pastikan anda membuat jadual peraturan yang sederhana. Senaraikan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh.. Bincangkannya bersama anak supaya mereka tidak merasa terkongkong.


2. Pencegahan Awal

Sekiranya anda merasa tingkah laku anak anda di luar kawalan seperti menjerit-menjerit (tanpa sebab), berlari-lari di dalam rumah dan sebagainya berusahalah untuk mengalihkan perhatian mereka kepada perkara lain seperti ajak dia bermain mainan kesukaannya, menonton televisyen dan sebagainya.


3. Fahami Tingkah Laku Si Kecil

Pastikan anda membuat catatan kecil mengenai sikap anak anda yang kurang menyenangkan, Dari catatan tersebut, anda dapat mengetahui pola kenakalan mereka dan cuba pertimbangkan segala kesalahan tersebut berpunca dari salah siapa. Jangan salahkan anak anda sepenuhnya, tanyakan sepenuhnya, tanyakan pada diri, adakah anda telah memberikan sepenuh perhatian kepadanya? Maka cubalah untuk mencari jalan penyelesaiannya.


4. Berdisiplin.

Amalkan disiplin yang mudah untuk mereka lakukan. Perhatikan berapa lama anak anda boleh mengikutinya. Misalnya minta anak anda berdiam diri seketika di kerusinya atau dia dilarang untuk bermain barang kesukaannya, mengemas bilik tidur selepas bangun dan beberapa perkara mudah yang lain.


5. Berikan Masa

Ketika kemarahan anda terhadap si kecil memuncak, cuba bertenang dan berikan masa sekurang-kurangnya 5 minit untuk anda meredakan suasana, Tarik nafas sedalam-salamnya dan cubalah mencari jalan penyelesaian untuk mengubah sikap sikecil


6. Hindari Memukul Ketika Marah.

Ketika marah, emosi sedang mengawal segala tindakan sehingga ada kalanya tidak sedar apa yang anda lakukan. Menurut kajian yang dijalankan, memukul anak kerana kenakalannya adalah perkara yang sangat tidak efektif dan tidak dapat membantu anda menyelesaikan masalah. Malahan ia mungkin akan mendatangkan kesan yang mendalam kepada anak-anak. Anda mahukan yang terbaik tetapi sebaliknya akan mereka lakukan.


7. Biarkan Berlalu

Lupakan sebentar kenakalan anak-anak yang telah membuat anda `tension’ dengan berolahraga atau bersiar-siar. Tindakan tersebut sekurang-kurangnya dapat memulihkan perasaan marah anda tadi. Cari sedikit masa untuk anda merehatkan fikiran yang kusut itu


Wednesday, April 1, 2009

JADIKAN ANAK PANDAI CARA DIDIKAN JEPUN

BANYAK cara untuk mendidik personaliti anak-anak .Ada menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan semata-mata mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak.Salah satu teknik yang mula di pratikkan di Malaysia ialah SHICIDA METHODS , iaitu kaedah mendidik anak-anak berfikir menggunakan otak kanan yang diajar oleh orang Jepun.Ini kerana otak sebelah kanan lebih efektif berbanding otak kiri tetapi ia perlu dipraktikkan dengan lebih kerap untuk mengaktifkan penggunaannya. Kelas SHICIDA METHODS ada ditawarkan di sesetengah tempat disini,namun kosnya agak mahal berbanding kelas-kelas lain,malah tidak ramai ibu bapa khususnya orang Melayu mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas sebegini.Disini disertakan serba sedikit kaedah SHICIDA METHODS untuk dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.Kaedah ini boleh Nampak kesannya dalam masa seminggu ia di pratikkan,namun bergantung kepada kebolehan dan keupayaan otak anak-anak anda menerimanya :

1) Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam,cakap padanya dengan sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia,dia budak baik,dia anak soleh,dia budak kuat,dia budak pandai dan sebagainya sebab sewaktu tidur-tidur ayam itulah otak kanannya sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur.Tapi kena buat dengan seikhlas hati sebab kalau dalam keadaan marah,ia tidak menjadi.Kalau mereka sudah tidur,cuba ramas-ramas jari atau tangan dia atau picit-picitkan badannya supaya dia kembali dalam keadaan tidur-tidur ayam.Cuba pratikkan pada anak anda khususnya bagi mereka yang liat bangun pagi.Insya-Allah menjadi.

2) Mula guna kad untuk ajar anak anda.Ada peserta yang ajar ABC-Z guna kad dalam masa seminggu sahaja,lepas tu mereka sudah kenal semua huruf dan boleh eja perkataan yang pendek-pendek. Buat atau beli kad banyak-banyak dan tunjuk pada mereka cepat-cepat seperti a…..b….c….d . Insya-Allah mereka cepat tangkap sebab bila kita tunjuk laju-laju otak kanan dia akan bekerja keras untuk tangkap apa benda yang ditunjuk.Boleh juga buat atau beli kad 1,2,3 atau gambar-gambar tertentu .

3) Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan,jadi cuba ajar anak anda main tanah liat,main cat air ( water colour ) ,melukis,gunting kertas,origami dan sebagainya.Memang agak leceh dan kena kemas semula,tapi untuk kebaikan anak-anak apa salahnya berkorban sikit.Satu lagi cuba lukis gambar,contohnya rama-rama,tapi hanya sebelah badannya sahaja dan suruh anak-anak sambung lukis ikut apa yang anda lukis dibahagian satu lagi.Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.Tahukah anda kenapa orang Cina dan Jepun kebanyakkannya pandai-pandai ? Ini kerana mereka makan menggunakan kayu penyepit.Kayu penyepit mengaktifkan kerja tangan sekaligus membantu menggerakkan otak kanan.

4) Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak kiri.Kalau tanpa sengaja marah atau menengking mereka,kembali semula ke cara pertama dan minta maaf pada mereka dengan ikhlas.

5) Cuba bina daya imaginasi mereka dengan cara bercerita dan kemudian suruh mereka menyambung semula cerita tersebut.Walaupun cerita itu merapu pun tidak mengapa asalkan mereka punya inisiatif untuk berimaginasi .

6) Main teka-teki dengan mereka.Letakkan satu barang dalam kotak dan kemudian suruh mereka teka apakah barang tersebut.Untuk permulaan,berikan mereka pilihan untuk menggambarkan jenis barang dalam kotak terbabit seperti memberitahu warna,bunyi dan sebagainya.Lama- kelamaan mereka boleh bangunkan deria keenam ( Sixth Sense ) dengan menumpukan perhatian kepada benda yang berada dalam kotak terbabit.Ini semua adalah untuk mengaktifkan otak sebelah kanan.Tapi ingat semua permainan yang hendak dilakukan itu hanya boleh dilakukan selama setengah jam sehari.Tidak perlu lama-lama kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan.

Sebelum lakukan semua kaedah ini,pastikan anda mempunyai masa yang benar-benar cukup.Pendekatan ini memerlukan keikhlasan dan kesunggguhan. Dalam Islam sendiri pun menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak ketika mereka mahu tidur kerana pada ketika itulah di antara waktu-waktu doa dimakbulkan. Seorang Kaunselor juga memberitahu, jangan suka menyebut JANGAN pada anak-anak kerana apa yang kita sebut itulah yang mereka ikut .Cuba ganti perkataan JANGAN dengan perkataan lain untuk menyampaikan maksud anda,misalnya – “ Tolong senyap Along ” berbanding “ Along Jangan bising ” .

Kaedah ini adalah yang paling berkesan dan efektif. Bukan sahaja anak menjadi pintar bahkan tahu mendisplinkan diri mereka.

PANDUAN MASALAH ANAK MENGAMUK & MENDISPLINKAN

PAKAR kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.

Kanak-kanak peringkat itu juga akan mengamuk kerana kecewa apabila tidak dapat melakukan tugasan atau memanipulasikan mainan seperti kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi dan mendengar perkataan ‘jangan’.

Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangannya.

Disertakan beberapa panduan bagaimana menghadapi anak yang suka mengamuk. Harap membantu. Juga boleh layari www.rentis.blogspot.com untuk penulisan saya yang lain berkaitan kanak-kanak.

Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:

# Mengalih perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk seperti muka anak merah atau mula hendak menangis.

Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.

Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.

# Tenang menghadapi kerenah anak. Bacakan untuk diri anda surah al-Inshirah untuk menenangkan diri. Berdoalah dalam hati supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoalah untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.

Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.

# Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A book of child care, memberikan seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton. Saya dapati panduan ini mujarab untuk anak saya dan kebanyakan anak di Taska. Jadi, jika anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.

# Apabila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.

# Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.

Beberapa bulan lalu, anak lelaki kecil saya mula mengamuk apabila kehendak hatinya tidak dituruti. Saya ambil pendekatan tidak peduli. Selepas dua tiga kali, dia tidak mengamuk lagi.

Apabila buat tidak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia cuba menarik perhatian dan apabila anak saya sudah berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.

Mendisiplinkan Anak Degil

Anda mungkin selalu menghadapi situasi ini, anak anda enggan makan malam bersama bila diajak. Dia berdiam diri apabila diminta mengemas barang mainannya. Membuat bising apabila adik tidur dan lari ketika disuruh mandi. Dia degil, tetapi mengapa dia degil?
Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Tanda dia sudah membina identitinya sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak. Kalau anda ingin tahu, berdegil adalah cara untuknya menunjukkan ketegasannya. Jadi apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu anda, “saya tidak sukakan peraturan mama.” Jadi apa yang boleh anda buat?

• Cuba memahaminya.
Jika anda meminta dia makan dan dia menjerit tidak mahu, paksaan hanya akan membuatkan dia menangis. Cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika dia sibuk bermain, datang kepadanya, dakap dia dan beritahu dia mengapa perlu makan. Ini untuk memberitahunya secara psikologi, anda sebenarnya mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan marah dia tetapi pastikan juga dia makan apa yang sepatutnya.

• Tetapkan hadnya.
Apapun yang dia lakukan, pastikan dia tahu semua itu ada hadnya. Beritahu dia, anda menyayanginya dan apa yang anda lakukan untuk kebaikannya. Jika dia ada masalah mematuhinya (selalunya memang begitu) fikirkan cara terbaik menyelesaikan keadaan itu. Contohnya, jika dia tidak mahu tidur dalam gelap, beri dia lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram.

• Tunjukkan sikap yang baik.
Selain memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal dan degil, cuba dekati dia ketika dia dalam ‘angin baik’. Beritahu dia apa yang betul dan tidak betul. Selalunya apabila anak membuat kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi jangan cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan beritahu dia mengapa anda marah terhadapnya.
Jika Kita Sendiri Bersikap Buruk Bagaimana Dia Membesar Dengan Mengamalkan Sikap Yang Baik?
Contohnya jika bergaduh suami isteri di hadapan anak dengan suara tinggi dan sepak terajang, bukankah logik anak akan membesar dengan sikap yang sama? Anda tentu malu sendiri kalau dia berkata, mengapa abang tidak boleh cakap menjerit-jerit tetapi mama boleh menjerit-jerit pada ayah?

• Ingat juga mendisiplinkan anak bukan bermaksud mengawalnya. Sebaliknya, ia bermaksud mengajar dia untuk mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin akan membuat dia lebih berdisiplin tetapi jika hukuman itu tidak ‘menakutkan’ anak. Dia akan berasa lebih selesa berbuat baik atas kesedarannya sendiri bukan kerana takut dirotan ibu bapa.

• Jika kedegilannya benar-benar mencabar, cuba bertenang dan buat dia selesa. Jika rasa marah anda membuak, jauh diri darinya. Bila anda rasa tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut.

• Beri dia peluang untuk membuat pilihan. Mulakan dengan benda yang mudah, beri dia pilihan memilih pakai¬an sendiri. Satu lagi cara membuat dia rasa dia punyai hak mengawal dirinya beritahu dia apa yang dia boleh buat. Jika dia bermain badminton di dalam rumah, daripada berkata ‘jangan bermain badminton dalam rumah’, ajak dia bermain di luar. Jika dia mahukan ais krim pada waktu malam, alihkan perhatiannya dengan memberinya pilihan, kakak hendak makan buah apple atau hendak makan anggur?

• Jauhkan situasi yang mungkin membuatkan anda malu dengan kedegilannya. Misalnya jika berjalan-jalan di kompleks membeli belah, dan anda tahu dia sukakan ais krim tetapi anda tidak mahu membelinya, jauhkan dia dari kedai yang menjual ais krim.

• Hormati dunia unik anak anda. Mungkin dia sedang leka bermain waktu anda hendak keluar. Dia tidak punya masa untuk memakai kasut dan anda sudah berada dalam kereta. Dia tentu akan membuat perangai kerana takut anda meninggalkannya. Jadi, beritahu dia lima minit sebelum keluar, ‘mama hendak keluar, kalau abang nak ikut, cepat pakai kasut’
Memang semua ini bukan jaminan untuk dia tidak lagi berdegil atau merungut, tetapi dengan kesabaran anda, dia sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.