PAKAR kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.
Kanak-kanak peringkat itu juga akan mengamuk kerana kecewa apabila tidak dapat melakukan tugasan atau memanipulasikan mainan seperti kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi dan mendengar perkataan ‘jangan’.
Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangannya.
Disertakan beberapa panduan bagaimana menghadapi anak yang suka mengamuk. Harap membantu. Juga boleh layari www.rentis.blogspot.com untuk penulisan saya yang lain berkaitan kanak-kanak.
Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:
# Mengalih perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk seperti muka anak merah atau mula hendak menangis.
Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.
Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.
# Tenang menghadapi kerenah anak. Bacakan untuk diri anda surah al-Inshirah untuk menenangkan diri. Berdoalah dalam hati supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoalah untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.
Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.
# Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A book of child care, memberikan seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton. Saya dapati panduan ini mujarab untuk anak saya dan kebanyakan anak di Taska. Jadi, jika anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.
# Apabila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.
# Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.
Beberapa bulan lalu, anak lelaki kecil saya mula mengamuk apabila kehendak hatinya tidak dituruti. Saya ambil pendekatan tidak peduli. Selepas dua tiga kali, dia tidak mengamuk lagi.
Apabila buat tidak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia cuba menarik perhatian dan apabila anak saya sudah berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.
Mendisiplinkan Anak Degil
Anda mungkin selalu menghadapi situasi ini, anak anda enggan makan malam bersama bila diajak. Dia berdiam diri apabila diminta mengemas barang mainannya. Membuat bising apabila adik tidur dan lari ketika disuruh mandi. Dia degil, tetapi mengapa dia degil?
Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Tanda dia sudah membina identitinya sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi itu bukan bermakna dia menjadi pemberontak. Kalau anda ingin tahu, berdegil adalah cara untuknya menunjukkan ketegasannya. Jadi apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu anda, “saya tidak sukakan peraturan mama.” Jadi apa yang boleh anda buat?
• Cuba memahaminya.
Jika anda meminta dia makan dan dia menjerit tidak mahu, paksaan hanya akan membuatkan dia menangis. Cuba letakkan diri anda di tempatnya. Jika dia sibuk bermain, datang kepadanya, dakap dia dan beritahu dia mengapa perlu makan. Ini untuk memberitahunya secara psikologi, anda sebenarnya mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan marah dia tetapi pastikan juga dia makan apa yang sepatutnya.
• Tetapkan hadnya.
Apapun yang dia lakukan, pastikan dia tahu semua itu ada hadnya. Beritahu dia, anda menyayanginya dan apa yang anda lakukan untuk kebaikannya. Jika dia ada masalah mematuhinya (selalunya memang begitu) fikirkan cara terbaik menyelesaikan keadaan itu. Contohnya, jika dia tidak mahu tidur dalam gelap, beri dia lampu suluh atau pasangkan lampu yang bercahaya suram.
• Tunjukkan sikap yang baik.
Selain memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal dan degil, cuba dekati dia ketika dia dalam ‘angin baik’. Beritahu dia apa yang betul dan tidak betul. Selalunya apabila anak membuat kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi jangan cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan beritahu dia mengapa anda marah terhadapnya.
Jika Kita Sendiri Bersikap Buruk Bagaimana Dia Membesar Dengan Mengamalkan Sikap Yang Baik?
Contohnya jika bergaduh suami isteri di hadapan anak dengan suara tinggi dan sepak terajang, bukankah logik anak akan membesar dengan sikap yang sama? Anda tentu malu sendiri kalau dia berkata, mengapa abang tidak boleh cakap menjerit-jerit tetapi mama boleh menjerit-jerit pada ayah?
• Ingat juga mendisiplinkan anak bukan bermaksud mengawalnya. Sebaliknya, ia bermaksud mengajar dia untuk mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin akan membuat dia lebih berdisiplin tetapi jika hukuman itu tidak ‘menakutkan’ anak. Dia akan berasa lebih selesa berbuat baik atas kesedarannya sendiri bukan kerana takut dirotan ibu bapa.
• Jika kedegilannya benar-benar mencabar, cuba bertenang dan buat dia selesa. Jika rasa marah anda membuak, jauh diri darinya. Bila anda rasa tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut.
• Beri dia peluang untuk membuat pilihan. Mulakan dengan benda yang mudah, beri dia pilihan memilih pakai¬an sendiri. Satu lagi cara membuat dia rasa dia punyai hak mengawal dirinya beritahu dia apa yang dia boleh buat. Jika dia bermain badminton di dalam rumah, daripada berkata ‘jangan bermain badminton dalam rumah’, ajak dia bermain di luar. Jika dia mahukan ais krim pada waktu malam, alihkan perhatiannya dengan memberinya pilihan, kakak hendak makan buah apple atau hendak makan anggur?
• Jauhkan situasi yang mungkin membuatkan anda malu dengan kedegilannya. Misalnya jika berjalan-jalan di kompleks membeli belah, dan anda tahu dia sukakan ais krim tetapi anda tidak mahu membelinya, jauhkan dia dari kedai yang menjual ais krim.
• Hormati dunia unik anak anda. Mungkin dia sedang leka bermain waktu anda hendak keluar. Dia tidak punya masa untuk memakai kasut dan anda sudah berada dalam kereta. Dia tentu akan membuat perangai kerana takut anda meninggalkannya. Jadi, beritahu dia lima minit sebelum keluar, ‘mama hendak keluar, kalau abang nak ikut, cepat pakai kasut’
Memang semua ini bukan jaminan untuk dia tidak lagi berdegil atau merungut, tetapi dengan kesabaran anda, dia sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.
My Followers
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment