My Followers

Tuesday, March 31, 2009

Mengapa Perlu Mengetahui Cara Pemikiran Anak Anda?

Apakah waktu yang sesuai mengajar bahasa yang baru kepada anak anda?

Bilakah anak anda boleh berdikari?

Bagaimanakah anda boleh memastikan bahawa anak anda faham apa yang dimaksudkan oleh anda?

Pernahkah anda menanya diri tentang bilakah anda boleh mula mentaksir, memproses dan membalas maklumat-maklumat yang diterima seperti orang dewasa? Sejak bilakah anda boleh bertindak sebagai seorang yang mempunyai permikiran yang matang? Seperti yang kita ketahui, kanak-kanak mempunyai pemikiran yang mentah dan tidak boleh memahami bahasa-bahasa orang dewasa. Cuba menanya anak-anak yang berumur 5 bulan tentang apakah warna yang disukai olehnya. Jelas ternyata, anak-anak yang kecil itu tidak tahu bagaimana bertutur, bahkan faham apa yang dikatakan. Disebabkan umurnya dan tahap kematangan anak-anak, kita sebagai orang dewasa tidak pasti bilakah masa yang sesuai membiarkan anak-anak melakukan aktiviti-aktiviti tertentu seperti belajar bermain piano, matematik, berenang, melukis dan sebagainya. Hal ini penting dan perlu dipertimbangkan supaya pengajaran yang sesuai dapat diberikan pada masa yang betul.

Jadi, bagaimanakah ibu bapa boleh menilai dan menganalisis tahap kognitif anak-anak? Mengikut Teori Jean Piaget, kita boleh memahami tahap perkembangan kognitif anak-anak berdasarkan umurnya. Dalam teori Piaget, beliau menyatakan bahawa terdapat 4 peringkat kognitif dalam perkembangan manusia. Peringkat-peringkat tersebut adalah peringkat ‘sensorimotor’, peringkat ‘pre-operational’, peringkat ‘concrete operations’ dan ‘peringkat formal operations’.

Mengikut Piaget, anak-anak yang berumur dalam lingkungan umur bayi yang baru dilahirkan hinggalah berumur dua, tergolongan dalam peringkat pertama, iaitu Peringkat Sensorimotor. Ketika peringkat ini, anak-anak mula mempelajari bahawa setiap tindakan yang dilakukan akan menghasilkan kesan. Hal ini dikenali sebagai kesan dan faktor (cause and effect). Sebagai contoh, mereka mempelajari bahawa pengoncangan loceng menggunakan tangan akan menghasilkan bunyi. Justeru, kita dapat memerhatikan sikap ingin mencuba terhasil dimana anak-anak akan bermain dengan setiap objek yang dilihat olehnya. Pada peringkat ini, tahap kognitif anak-anak belum lagi berkembang. Biasanya, anak-anak lebih menggunakan deria-deria mereka. Selain itu, anak-anak mempunyai tanggapan bahawa sesuatu objek yang hilang dari penglihatannya, hilang selama-lamanya. Mereka tidak tahu bahawa, objek-objek yang hilang dari penglihatan mereka masih berada di persekitaran. Walau bagaimanapun, anak-anak juga akan sedar fenomena ini ketika berumur satu tahun dan ke atas.

Peringkat Pre-Operational berlaku ketika anak-anak berumur dua hinggalah ke umur tujuh. Pada peringkat ini, anak-anak mula membentuk gambaran mental terhadap objek dan perkara-perkara di persekitarannya. Pada masa yang sama, bahasa mula terbentuk dimana mereka mula memikirkan perkataan-perkataan untuk melambangkan objek-objek atau perkara-perkara tertentu. Walau bagaimanapun, pada peringkat ini, kanak-kanak masih belum menunjukkan keupayaan dalam menggunakan sistem kognitifnya. Pemikirannya mereka adalah mudah, kurang logik, tidak flexible dan tertumpu hanya kepada sesuatu topic. Sebagai contoh, mereka akan menganggap mangkuk sebagai kuali dan sudu sebagai penyudip, dan mereka akan bertindak sebagai tukang masak seperti ibu mereka. Hal ini juga dikenali sebagai ‘symbolic play’.

Selain itu, pada peringkat ini, anak-anak mempunyai kekuatan ‘egocentrism’ yang tinggi. Mereka tidak dapat memahami perasan orang lain, baik ibu bapa mereka mahupun adik-adiknya. Mereka akan lebih mementingkan keperluan diri dan biasanya tidak suka berkongsi benda dengan orang lain.
Seterusnya, ketika peringkat ‘concrete operations’, anak-anak yang berumur tujuh hinggalah ke umur dua belas akan mula dapat memproses maklumat secara lebih logik, tersusun, fleksible dan sebagainya. Tahap kognitif anak-anak pada peringkat ini adalah lebih tinggi. Biasanya, mereka mula dapat memahami perhubungan sesuatu perkara dengan perkara yang lain. Tahap kematangan mereka adalah lebih tinggi dan mampu memahami apa yang dikatakan oleh orang-orang di sekelilingnya. Walau bagaimanapun, tahap pemikirannya adalah terhad dan masalah-masalah yang lebih komplek tidak dapat ditangani oleh mereka.

Akhirnya, pada peringkat ‘formal operations’, anak-anak yang berumur dua belas hinggalah ke umur dewasa mempunyai tahap permikiran yang paling tertinggi. Permikiran yang logik, pemahaman yang lebih pantas, kebolehan mengolah maklumat dan kebolehan membentuk data-data berlaku pada anak-anak peringkat ini. Cara pemikiran mereka adalah lebih abstrak dimana mereka bukan sahaja boleh memproses maklumat yang benar dan konkrete, bahkan membentuk kemungkinan yang mungkin berlaku di masa akan datang. Tahap kematangan anak-anak ketika peringkat ini bergantung kepada umur dan faktor persekitaran. Anak-anak yang diajar dan didedahkan dengan lebih maklumat dan penerangan-penerangan yang logik, kematangan mental akan berlaku dengan lebih cepat.

Pengetahuan yang lebih jelas dalam perkembangan kognitif anak-anak perlu diketahui oleh ibu bapa dalam membentuk anak-anak yang sihat, gembira dan berjaya pada setiap masa. Hal ini penting supaya ibu bapa tahu akan waktu-waktu yang sesuai dimana anak-anak sesuai dan boleh diajar dengan ilmu-ilmu yang baru mengikut tahap kematangannya. Anak-anak bukan sahaja boleh belajar dengan lebih efektif, malah mereka akan hidup dengan lebih sihat dan gembira tanpa adanya tekanan-tekanan lain seperti tekanan akedemik yang biasa kita dengari di negara kita. Justeru, memang baiklah ibu bapa, guru-guru mahupun pihak-pihak lain mengambil perhatian terhadap tahap kognisi anak-anak demi kesejahteraan mereka.



No comments:

Post a Comment