My Followers

Tuesday, March 31, 2009

Rahsia Tentang Tangisan Si Manja

Memang telah menjadi lumrah hidup dimana si manja akan menangis sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini. Tangisan yang pertama ini adalah cara seseorang bayi memulakan sistem pernafasannya dengan menyedut udara dengan segera sebaik sahaja dilahirkan. Selain itu, tangisan juga merupakan salah satu cara komunikasi yang dapat disampaikan oleh seseorang bayi kepada orang-orang di sekelilingnya memandangkan dia tidak dapat bertutur mahupun bertindak seperti orang-orang dewasa.

Hal ini menjelaskan betapa pentingnya tangisan kepada seseorang bayi. Pengkaji-pengkaji telah menunjukkan minat yang tinggi dalam meneroka kerahsiaan-kerahsiaan yang terdapat dalam tangisan seseorang bayi dan kajian-kajian telah dijalankan. Bukan sahaja pengkaji-pengkaji, saya mempercayai para ibu bapa juga berminat untuk mengetahui mengapakah bayi menangis dan apakah cara-cara untuk menghentikannya.

Bayi secara puratanya menggunakan dua hingga tiga jam sehari untuk menangis. Sekiranya anda jarang dapat meluangkan masa bersama bayi yang baru dilahirkan (newborn baby) akibat kesibukkan kerja pada siang hari, anda mungkin jarang dapat mendengar tangisan yang dikeluarkan oleh bayi. Kesannya, anda tidak sedar bahawa terdapat perbezaan dalam tangisan mengikut keadaan dan perasaan yang dihadapi oleh seseorang bayi.

Secara keseluruhannya, bayi didapati mengeluarkan tiga jenis tangisan yang amat ketara perbezaannya. Jenis-jenis tangisan itu termasuklah tangisan asas (basis cry), tangisan berlebih-lebihan (mad cry) dan tangisan kesakitan (pain cry) (Snow, 1998). Tangisan asas ataupun basis cry ini merupakan sejenis tangisan yang bermula dengan bunyi tangisan yang rendah, dan seterusnya bertukar menjadi bunyi tangisan yang kuat secara perlahan-lahan. Biasanya, tangisan ini berlaku semasa si manja berada dalam keadaan yang lapar ataupun letih. Tangisan tersebut dikeluarkan seolah-olah inginkan makanan ataupun belaian daripada ibu bapa.

Seterusnya, tangisan berlebih-lebihan ataupun mad cry merupakan sejenis tangisan yang lebih ekstrem berbanding dengan tangisan asas dimana tangisan tersebut menjadi sangat kuat dan berpanjangan. Biasanya, tangisan ini terhasil apabila kemahuan si manja tidak dihirau dalam tempoh masa yang sangat lama sehingga mendatangkan ketidakselesaan pada dirinya.

Tangisan sakit ataupun pain cry berlaku secara tiba-tiba. Bayi akan mengeluarkan bunyi tangisan yang kuat sebaik sahaja kesakitan yang amat sangat dirasai pada badannya. Jenis tangisan ini adalah kuat dan berpanjangan serta diikuti dengan beberapa perhentian yang panjang sepanjang tangisan tersebut. Selain itu, bayi yang berada dalam kesakitan itu juga akan mengeluarkan bunyi penghisapan udara (gasping) yang sangat kuat. Kadang-kadang, muka bayi itu akan bertukar menjadi merah akibat tangisan yang kuat dan berpanjangan itu.

Melihatkan jenis-jenis tangisan yang telah dibincangkan di atas, apakah tindakan anda apabila melihat bayi anda yang kecil itu sedang menangis? Saya percaya, jawapannya adalah sama. Ibu bapa secara semulajadinya akan memberi perhatian kepada bayinya ketika dia sedang menangis dan cuba mententeramkannya supaya berhenti dengan segera. Sekiranya ibu bapa gagal berbuat begitu, ibu bapa biasanya akan berasa kurang selesa dan stress dengan keadaan bunyi tangisan yang berpanjangan itu, lebih-lebih lagi tangisan yang kuat nadanya. Pada masa inilah, ibu bapa akan cuba sedaya-upaya menghentikan tangisan itu dengan mendukung, membelai, mengentak, menyanyi dan bermain dengan si manja. Biasanya, cara-cara ini sangat berkesan.

Terdapat pelbagai cara menghentikan tangisan seseorang bayi dan cara-cara yang dinyatakan sebelum ini memang telah dibuktikan mendatangkan kesan yang positif kepada diri bayi. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu tahu cara untuk memberi respon yang betul ketika ingin mententeramkan bayi yang sedang menangis. Sekirannya ibu bapa memberi respon secara segera dan bila-bila sahaja sebaik sahaja si manja menangis, adalah menjadi kerisauan dimana anak yang cerewet, bergantungan kepada pertolongan dan panas baran akan terhasil. Nilai-nilai yang negatif mungkin terbentuk pada diri bayi dan akan terbawa-bawa apabila membesar kelak.

Demi membentuk anak-anak yang lebih berakhlak dan bertolak ansur, ibu bapa perlulah meluangkan masa seketika, mengkaji dan menelitikan sebab-sebab mengapa anak menangis sebelum menghulurkan bantuan dan kasih sayang. Hal ini penting supaya bayi tidak terpelajar bahawa setiap kali mereka menangis akan memperoleh sesuatu yang diingininya. Sebagai contoh, apabila bayi yang terjaga didapati menangis dalam suara tangisan yang rendah pada waktu malam, ibu bapa perlulah memberi peluang kepada si manja dengan menghentikan tangisan tersebut secara sendiri. Sekiranya tangisan itu tidak terkawal dan berlarutan, barulah ibu atau bapa membantunya. Contoh yang kedua pula, apabila bayi didapati menangis secara tiba-tiba dan secara kuat sebaik sahaja sesuatu bunyi hentakkan yang kuat datang dalam biliknya, ibu bapa perlulah bergegas ke dalam bilik tersebut dan melihatnya. Seperti yang kita telah bincangkan, bunyi tangisan secara tiba-tiba dan kuat adalah jenis tangisan sakit. Hal ini bermakna kemungkinan bayi menghadapi kesakitan adalah sangat tinggi.

Tuntasnya, orang-orang dewasa terutamanya ibu bapa perlu peka terhadap tangisan yang dikeluarkan oleh si manja.Ibu bapa perlulah ingat bahawa menangis merupakan salah satu cara komunikasi yang dapat dikeluarkan oleh seseorang bayi. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa terdapat perbezaan dalam tangisan-tangisan yang dikeluarkan oleh bayi. Setiap jenis tangisan tersebut membawa maksud dan makna yang berlainan. Justeru, ibu bapa perlulah meneroka jenis-jenis tangisan tesebut secara lebih mendalam agar dapat memahami kemahuan si manja dengan tepat dan menghulurkan bantuan yang betul. Setiap jenis-jenis tangisan tersebut, iaitu tangisan asas, tangisan berlebih-lebihan dan tangisan kesakitan telah dibincangkan dan diharap bakal ibu bapa mengambil perhatian kepada setiap tangisan tersebut. Kuasailah rahsiah tangisan bayi ini dan meneroka secara lebih mendalam tentang aspek ini apabila anda mempunyai cahaya mata kelak. Kefahaman seseorang ibu dan bapa yang mendalam dalam isu ini boleh membantu perkembangan bayi yang sihat.

No comments:

Post a Comment