Anak malas belajar walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menarik perhatiannya. Perkara yang dianggap remeh ini mungkin membimbangkan bagi sesetengah ibu bapa. Pada usia lima tahun, kebanyakan kanak-kanak akan mula mengikuti pelajaran di peringkat pra-sekolah. Kebanyakan mereka dapat menyesuaikan diri dengan alam persekolahan tetapi terdapat juga sebahagian yang mungkin mengalami masalah.
Sering kedengaran rungutan atau keluhan ibu bapa mengenai anak-anak yang degil, malas belajar dan sebagainya. Terdapat beberapa faktor yang perlu difahami sebelum mengatakan anak itu degil atau malas belajar.
Sikap seseorang kanak-kanak itu merupakan persepsi ibu bapa terhadap kelakuan anak-anak mereka dan persepsi ini pula bergantung kepada beberapa faktor lain. Antaranya, tahap toleransi dan harapan ibu bapa sendiri terhadap anak-anak mereka.
Ibu bapa yang mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap anak mereka mungkin mempunyai tahap toleransi yang lebih rendah dan seharusnya lebih cenderung untuk mengatakan anak-anak ini bersikap negatif sekiranya anak-anak gagal mencapai tahap yang mereka harapkan. Ibu bapa yang tidak mempunyai kemahiran keibubapaan yang baik, biasanya akan mengalami masalah mengendalikan perangai anak-anak yang pelbagai dan lebih cenderung mengatakan anak-anak ini bersikap degil atau malas.
TIDAK NORMAL
Bagaimanapun tidak dinafikan ada sebahagian kanak-kanak yang mengalami masalah tertentu yang menyebabkan mereka bersikap degil, malas belajar dan sebagainya. Dari aspek psikiatri, terdapat beberapa kemungkinan yang harus diberi perhatian iaitu :
1. Kerencatan Akal – merupakan masalah di mana tahap kecerdasan akal kanak-kanak tersebut berada di bawah tahap normal dan menyebabkannya sukar menerima pembelajaran.
2. Masalah Pembelajaran Spesifik – merupakan masalah pembelajaran spesifik di mana kanak-kanak ini yang biasanya mempunyai tahap kecerdasan akal yang normal, tetapi menghadapi masalah pembelajaran seperti menulis, mengeja, membaca dan mengira.
3. Tumpuan Dan Hiperaktif – merupakan masalah perkembangan yang melibatkan ‘hyperaktiviti’ dan ‘masalah tumpuan’. Kanak-kanak yang dikatakan di dalam golongan masalah ini biasanya hiperaktif, sentiasa bergerak, tidak dapat member tumpuan, tidak dapat menyiapkan kerja dan sebagainya yang akan menjejaskan proses pembelajaran.
4. Autisme – merupakan masalah perkembangan otak dan saraf kanak-kanak yang melibatkan masalah perkembangan dari tiga aspek utama iaitu : perkembangan bahasa, pertuturan dan komunikasi, interaksi sosial dan kurang daya imaginasi serta suka pada objek, aktiviti atau topik yang sama. Ini menyumbang kepada kesukaran mereka untuk belajar.
5. Emosi – Masalah emosi seperti kemurungan, anxiety dan sebagainya juga boleh menyebabkan perubahan sikap anak-anak menjadi degil, malas dan sebagainya.
RAWATAN
Untuk melakukan penilaian, kanak-kanak ini perlu ditemu bual oleh doktor. Teknik-teknik lain seperti melukis, menulis, cara bermain dan sebagainya juga akan digunakan bagi membantu mendapatkan maklumat. Pemerhatian juga akan dilakukan untuk melihat cara kanak-kanak ini bermain, bertutur, pergaulan dengan ibu bapa dan ahli keluarga lain dan sebagainya.
Ujian kecerdasan akal dan ujian perkembangan kanak-kanak akan dijalankan sekiranya perlu. Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain juga akan ditemu bual untuk mendapatkan maklumat tentang kanak-kanak ini. Laporan sekolah juga akan diperoleh sekiranya perlu dan mendapat keizinan dari ibu bapa. Daripada maklumat yang diperoleh doktor akan mengenal pasti masalah kanak-kanak tersebut dan memberi diagnosis yang sesuai. Ibu bapa akan diberi penerangan mengenai masalah anak mereka dan rawatan yang bersesuaian akan diberikan.
Sekiranya tiada masalah berkaitan dengan masalah perkembangan, kecerdasan akal atau masalah pembelajaran, masalah emosi perlu diambil kira. Kanak-kanak didalam lingkungan umur ini juga boleh mengalami masalah emosi dan biasanya mereka akan menunjukkan perubahan sikap dan perangai apabila mengalami tekanan.
Antara faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada masalah emosi dikalangan golongan ini adalah penderaan, konflik rumahtangga ibu bapa, penceraian ibu bapa, kematian ibu bapa dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, ada masalah yang sebenarnya datang dari ibu bapa dan bukannya anak mereka. Ibu bapa yang menghadapi tekanan biasanya tidak dapat mengendalikan anak-anak mereka dengan baik sehingga mereka membuat andaian bahawa anak mereka yang bermasalah. Sekiranya perlu, ibu bapa tersebut akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian.
Dalam pada itu, setiap ibu bapa hendaklah memahami anak dan sentiasa peka kepada sebarang perubahan sikap yang berlaku. Walaupun sibuk, pastikan anak-anak mendapat perhatian yang sewajarnya. Ibu bapa hendaklah mewujudkan suasana kekeluargaan yang harmoni bagi membantu anak anda membesar dalam persekitaran yang positif. Jangan terlalu mementingkan aspek akademik sehingga memberi tekanan kepada anak-anak. Pastikan mereka ada masa untuk bermain dan melakukan aktiviti yang mereka suka selain dari belajar. Setiap anak mempunyai potensi, terpulanglah kepada kita untuk membantu mereka mencapainya.
My Followers
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sudah ada remedi utk atasi masalah autism ADHD Pusat Rawatan Fitrah Healthcare Centre Gombak sedia membantu anak2 yg bermasalah.Sudah ramai yg mendapat manfaat dan kesan dari rawatan disini.Dijamin berkesan dan selamat. 0196676236 -Dr Wan
ReplyDelete